Wednesday, 29 January 2014

Tanda-tanda Wanita Solehah

ANTARA tanda-tanda dari wanita yang solehah itu ialah ketaatannya kepada suaminya. Taat kepada suami mempunyai tempat yang kedua setelah taat atau patuh terhadap perintah dan larangan Allah. Bahkan ketaatannya kepada Allah diukur sejauh mana dia dapat menyelesaikan kewajipannya terhadap suaminya.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya seorang isteri belum dapat dikatakan telah menunaikan kewajipannya terhadap Allah sehingga ia menunaikan kewajipannya terhadap suaminya seluruhnya. Dan jika suaminya memerlukannya, sedangkan pada waktu itu dia sedang berada di atas kenderaan, maka tidak boleh dia menolaknya". (Hadis Riwayat Thabrani)

Dalam hadis yang lain pula diterangkan, bahawa sesiapa sahaja isteri yang dengan penuh keikhlasan dalam melaksanakan tugasnya sebagai isteri, serta beriman kepada Allah, maka ia berhak memperolehi balasan syurga.

Rasulullah SAW bersabda:
"Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram dan dia taat kepada suaminya, maka akan dipersilakan ia masuk ke syurga dari pintu mana sahaja yang dia kehendaki". (Hadis Riwayat Ahmad & Thabrani)

Dalam hadis yang lain pula diterangkan:
"Apabila seorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga". (Hadis Riwayat Tarmizi & Ibnu Majah)

Maksud dari hadis ini ialah, jika seorang isteri yang meninggal dunia, dan ketika hidupnya tidak pernah ia mengecewakan suaminya, maka ketika ia mati, akan memperoleh balasan syurga. Akan tetapi bagi isteri yang semasa hidupnya tidak melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan perintah Allah, maka dia akan memperoleh kehinaan disisi Allah.

Dalam sebuah riwayat diterangkan;
sesungguhnya telah terjadi di zaman Rasulullah SAW seorang suami pergi berperang meninggalkan isterinya. Sebelum bertolak meninggalkan rumah dia berpesan kepada isterinya;

"Janganlah kamu meninggalkan rumah sehingga aku pulang dari berperang".

Pada waktu si suami tiada di rumah, ibu kepada si isteri jatuh sakit tenat. Maka si isteri telah mengutuskan seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat ibunya. Rasulullah SAW menjawab;

"Tunggulah suamimu pulang, dan janganlah keluar rumah".

Akhirnya ibu kepada si isteri tadi meninggal dunia tanpa sempat si isteri berjumpa, lalu si isteri sekali lagi mengutuskan seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat jenazah ibunya. Lalu Rasulullah SAW menjawab;

"Tunggulah hingga suamimu pulang".

Setelah itu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri tersebut untuk memberikan berita bahawa Allah SWT telah mengampuni dosa ibunya disebabkan ketaatannya kepada suaminya.

Jadi seorang wanita yang solehah itu ialah wanita yang sanggup meletakkan sesuatu pada tempat yang benar. Ertinya, jika ia sudah bersuami, maka yang paling berhak terhadap dirinya adalah suaminya, melebihi diri bapa dan ibunya serta keluarganya yang lain.

No comments:

Post a Comment