Wednesday, 29 January 2014

Balasan Kerana Derhaka Kepada Suami

Saban malam, seorang ibu dari keturunan Bani Israil berendam air mata. Hatinya dibalut rasa pilu setiap kali menatap anaknya yang menderita disebabkan penyakit misteri. Selain berdoa siang dan malam, si ibu berusaha mengubati anaknya itu. Namun tiada tanda penyakitnya akan sembuh, sebaliknya bertambah teruk.

Satu malam, selepas memberikan anaknya ubat, dengan linangan air mata, si ibu berdoa ke hadrat Allah, sekali gus bernazar jika penyakit anaknya sembuh. Dengan kehendak Allah, tidak berapa lama kemudian, si anak yang sekian lama terlantar perlahan-lahan sebuh. Selera makannya bertambah dan dalam waktu terdekat, dia kembali pulih.

Sekali lagi dengan iringan air mata, si ibu tak henti-henti meluahkan rasa syukur kepada Allah. Sesungguhnya dia merasa cukup terharu selepas doanya dimakbulkan. Sambil tersenyum dia mengusapkan rambut anak lelakinya itu dengan penuh kasih sayang. Lantaran terlampau gembira, ibu tadi terlupa menunaikan nazar yang dilafazkan ketika berdoa. Hinggalah pada suatu malam, dia bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua yang tidak dikenalinya.

Lelaki itu berkata kepadanya dalam nada marah, "Hai perempuan! Tunaikanlah nazarmu agar kelak engkau tidak ditimpa musibah daripada Allah." Sejurus kemudian lelaki tersebut lenyap dan si ibu tersentak daripada tidurnya. Beberapa kali dia beristighfar sambil mengurut dadanya yang berdebar kencang. Digosok-gosok kelopak matanya, kemudian dia termenung memikirkan mimpi itu. Perasaan takut telah menerjah-nerjah nalurinya.

Keesokan malamnya, si ibu memanggil anaknya. Lalu diceritakan perintah lelaki tua dalam mimpinya serta nazar yang belum ditunaikan. "Nazar apa?" tanya si anak. "Begini... semasa kamu sakit tempoh hari, mak bernazar sekiranya kau sembuh, mak berjanji untuk keluar dari dunia ini selama tujuh hari. Doa mak dimakbulkan tapi hingga ke hari ini nazarnya belum dapat ditunaikan," jelas si ibu. "Apa yang mesti kita lakukan?" tanya si anak selepas agak lama termenung. "Apa lagi galikan sebuah lubang kubur untuk mak!" perintah si ibu. "Gali kubur? Tapi.. bukankah kubur hanya untuk orang mati?". Soal si anak penuh kehairanan. "Dah, jangan banyak tanya. Gali kubur, kemudian timbuskan mak. Selepas tujuh hari, kau galilah semula. Insya Allah mak akan selamat," ujar si ibu selamba.

Dalam keadaan terpinga-pinga, si anak akur dengan perintah ibunya. Lalu dia segera mengambil cangkul, melakukan apa yang disuruh. Setelah selesai si anak membaringkan tubuh ibunya dalam liang lahad. Dengan linangan air mata, si ibu menadah tangan lalu berdoa: "Ya Allah, Engkau telah memenuhi permintaan dan doaku. Sekarang aku akan tunaikan nazarku. Peliharalah aku daripada kebinasaan alam kubur ini, ya Allah dan selamatkanlah anakku."

Dalam keadaan serba salah si anak meletakkan papan keranda dan menyodok tanah untuk mengambus lubang kukur itu. Dia kemudian berjalan pulang sambil air matanya tak henti-henti mengalir. "Mungkin ibuku sedang meronta-ronta kelemasan sebelum menghembuskan nafas terakhir," bisik si anak mengenangkan nasib sibunya. Si anak mengira hari dan dirasakannya waktu terlalu lambat bergerak. Namun sesaat pun si anak tidak lupa meohon agar Allah sentiasa memelihara ibunya.

Didalam kubur, si ibu merasakan lubang kuburnya semakin hari semakin luan. Beberapa ketika kemudian, dia terpandang imbasan cahaya disebelah kanan kepalanya. Lalu dia menoleh. Didapati ada suatu lubang kecil di sebelahnya yang amat terang. Apabila di intainya ternampaklah sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan yang amat indah. Belum pernah dia melihat taman seindah itu seumur hidupnya.
Si ibu tambah tersentak apabila ternampak dua wanita sedang duduk di tepi sebuah kolam yang jernih airnya. Seorang berwajah sugul sementara yang seorang lagi begitu ceria. Menyedari kehadirannya, wanita berwajah ceria bersuara: "Wahai perempuan, silakan masuk dan duduklah bersama kami" pelawanya penuh sopan. Sejurus itu lubang kecil di kubur si ibu perlahan-lahan membesar sehingga memudahkannya berjalan masuk ke taman tersebut. Dihampirinya kedua-dua wanita itu. Tiba-tiba muncul seekor burung, lalu melebarkan sayapnya ke atas kepala wanita ceria itu. Tidak berapa lama kemudian, seekor lagi datang mematuk- matuk kepala wanita berwajah muram itu.

Kejadian itu memeranjatkan si ibu. Dia bertanya kepada perempuan yang dipayungi burung itu. "Bagaimana kamu memperolehi kemulian ini?" tanyanya lagi. "Semasa di dunia, aku mentaati suamiku. Semasa aku kembali menemui Tuhan, dia redha kepadaku sehingga kini. Maka Allah muliakan aku seperti mana kamu lihat." Setelah itu, si ibu tadi bertanya pula kepada wanita yang melolong-lolong setiap kali burung mematuk kepalanya. "Semasa di dunia," jawabnya tersekat-sekat, "aku perempuan yang soleh, tidak pernah aku melanggar perintah Allah, tetapi aku sering kali derhaka kepada suamiku." Apabila aku meninggal, dia berada dalam keadaan tidak redha kepadaku... maka itulah Allah jadikan kubur ini tempat penyiksaan. "Jika kamu kembali ke dunia nanti, ceritakan kepada suamiku, yang aku memohon ampun dan maaf." "Insya Allah," jawab si ibu tadi perlahan, menahan hiba.

Tujuh hari kemudian,setelah tinggal bersama-sama dua orang wanita tersebut, si ibu masuk semula ke kuburnya. Sedar-sedar anak lelaki ibu tadi sudah berada di sisinya. Kedua-dua anak beranak itu berpelukan dengan air mata berjejeran kerana tidak menyangka dapat berjumpa semula. Sebaik si anak membawa ibunya pulang, hebohlah ke seluluh kampung bahawa si ibu telah kembali semula selepas seminggu dikebumikan.

Berduyun-duyunlah orang menziarahi perempuan tersebut, bertanyakan pengalamannya selama tujuh hari berada dalam kubur. Di antara yang hadir itu termasuklah suami perempuan kedua yang ditemui si ibu tadi semasa di alam kubur. Sebaik mendengar pengalamannya, lelaki itu pun bersuara. "Dialah arwah isteri saya" kata lelaki itu sayu. "Malang sekali, sekarang dia sedang diseksa kerana derhaka kepada kamu Ampunilah dia agar arwah dapat ketenangan di sana," jelas ibu itu. "Baiklah... aku ampunkan segala dosanya terhadapku dan aku redha dengan pemergiannya," sambung lelaki itu lagi.

Aneh, malam itu si ibu bermimpi didatangi perempuan yang dipatuk burung. "Bagaimana keadaan kamu sekarang?" tanya si ibu itu. "Alhamdulillah, aku selamat daripada seksaan kerana pertolonganmu menyampaikan pesan agar suamiku memaafkan dosaku. Semoga Allah membalas kebaikanmu dan mengampunkan engkau," ujar wanita itu terharu. Si ibu terjaga lantas beristighfar beberapa kali.

No comments:

Post a Comment