Wednesday, 22 January 2014

Koleksi pepatah melayu

~PEPATAH MELAYU~

1. Ada air, adalah ikan [Ada negeri tentulah ada rakyatnya]
2. Ada angin, ada pokoknya [Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya]
3. Ada bangkai adalah hering [Di mana ada perempuan jahat di situlah ada lelaki jahat]
4. Ada gula adalah semut [Di tempat yang mudah memperoleh rezeki, di situlah banyak orang berkumpul]
5. Adakah buaya menolak bangkai? [Orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk berbuat jahat]
6. Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras [Sesuatu pekerjaan itu akan dilakukan dengan cepat dan sempurna jika cukup upahnya]
7. Ada ubi ada batas, ada budi ada balas [Sekiranya seseorang membuat kebaikan, akan mendapat balasan yang baik juga]
8. Ada udang di sebalik batu [Ada sesuatu tujuan di sebalik apa-apa yang dilakukan]
9. Air dicencang tidak akan putus [Perbalahan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan]
10. Air digenggam tidak tiris [Orang yang kedekut atau terlalu cermat apabila berbelanja]
11. Air mudik sungai, semua teluk diranai [Orang yang boros akan berbalanja tanpa perhitungan]
12. Air pun ada pasang surutnya [Keadaan hidup seseorang tidak menentu, kadangkala susah]
13. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya [Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut]
14. Alah bisa, tegal biasa [Pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah jika kerap dilakukan]
15. Alah jadi abu, menang jadi arang [Dalam sesuatu pertikaian, sama ada menang atau kalah, kedua-dua pihak mendapat kerugian]
16. Alah membeli, menang memakai [Tidak mengapa barang yang dibeli itu mahal sedikit asalkan barang itu tahan lama]
17. Alah sabung, menang sorak [Kalah dalam sesuatu perlawanan tetapi masih bercakap besar]
18. Alang-alang berminyak biar licin [Sesuatu kerja yang dilakukan itu hendaklah dilakukan sehingga selesai]
19. Alang-alang mandi biar basah/ Alang-alang berminyak biar licin [Melakukan sesuatu perlu sehingga selesai]
20. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan [Kalau sudah terlanjur dalam membuat sesuatu perbuatan yang tidak baik, biarlah dibuat sehingga memperoleh hasilnya]
21. Anjing bercawat ekor [Orang yang menyisihkan dirinya kerana perasaan malu atau sebagainya]
22. Anjing biasa makan tahi, jika tidak makan, dicium ada juga [Orang yang pada suatu masa pernah berbuat jahat, sekali sekala teringat akan perbuatan jahatnya itu]
23. Anjing ditepuk menjongket ekor [Orang yang tiada berbudi pekerti jika dihormati akan menjadi sombong]
24. Apa peduli pada kukuran, nyiur juga yang akan habis [Memang mudah menyuruh seseorang melakukan sesuatu kerja tetapi orang yang melakukan kerja itu akan menghadapi kesukaran]
25. Apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada [Cukup mempunyai segala yang diperlukan]
26. Aur ditanam betung tumbuh [Mendapat laba yang banyak dengan modal yang sedikit]
27. Ayam baru belajar berkokok [baru cukup umur]
28. Ayam berinduk, sirih berjunjung [Setiap orang yang lemah harus mendapat bantuan dan perlindungan]
29. Ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan [Orang yang hidup miskin di negara yang kaya dan makmur/ Hidup menderita walaupun bergaji besar, beristeri, atau bersuamikan orang kaya]
30. Ayam ditambat disambar helang, padi di tangan lalang [Nasib yang malang]
31. Ayam tak patuk, itik tak sudu [Seseorang yang hina dalam masyarakat]
32. Ayam sudah patah, kalau-kalau dapat menikam [Orang yang telah jatuh melarat itu mungkin akan berubah nasibnya]
33. Bagaimana acuan begitulah kuihnya [Bagaimana kelakuan ibu atau bapa begitulah kelakuan anaknya]
34. Bagaimana bunyi gendang, begitulaqh tarinya [Bagaimana perintah, begitulah seharusnya sesuatu itu dilakukan]
35. Bagaimana tidak menggigit telunjuk, melihat air hujan turun keruh [Berasa hairan melihat orang yang berketurunan baik-baik berkelakuan tidak senonoh]
36. Baharu bertatih hendak berlari, langsung tersembam [Melakukan sesuatu sebelum tiba masanya, akhirnya akan ditimpa kesusahan]
37. Bahasa menunjukkan bangsa [Bahasa mencerminkan tinggi atau rendahnya kedudukan sesuatu bangsa itu]
38. Bakar air hendakkan abu [Membuat pekerjaan yang mustahil]
39. Bangkai gajah bolehkah ditudung oleh nyiru? [Sesuatu perbuatan jahat yang besar tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai]
40. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam [Setiap orang mempunyai kegemaran, kemahuan, dan pendapat yang tidak sama]
41. Barang tergenggam jatuh terlepas [Barang yang mungkin menjadi hak milik kita, tiba-tiba terlepas ke tangan orang lain]
42. Baharu bertunas sudah dipetik, masakan boleh hidup [Belum banyak untungnya sudah berbelanja besar]
43. Baharu dianjur, sudah tertarung [Baru hendak memulakan sesuatu sudah berhadapan dengan pelbagai masalah]
44. Batu direbus masakan empuk [Orang yang bebal, bagaiamana diajar sekalipun tidak akan pandai]
45. Bau cekur jerangau ada lagi di ubun-ubun, sudah hendak berumah tangga [Lelaki yang belum cukup umur sudah mahu beristeri]
46. Baung di bawah bangkar [Bunyi orang bersungut tetapi tidak jelas hujung pangkalnya]
47. Belakang parang kalau diasah nescaya tajam [Bagaimana bodoh sekalipun seseorang itu, jika diasuh akhirnya dia akan pandai juga]
48. Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang [Orang yang arif dan rajin]
49. Belum duduk sudah berlunjur [Belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira]
50. Belum tahu lagi, ayam sedang berlaga [Belum ada keputusan]
51. Belut pulang ke lumpur, ikan pulang ke lubuk [Kembali ke tempat asalnya]
52. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian [Menempuh kesusahan dahulu sebelum mendapat kesenangan]
53. Beranak tidak berbidan [Mendapat kesusahan kerana kesalahan sendiri]
54. Berani kerana benar, takut kerana salah [Bertindak kerana berada di pihak yang benar]
55. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul [Berapa susah kita melihat seseorang itu menanggung kesusahan, susah lagi orang yang mengalaminya]
56. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing [Bermuafakat dalam melakukan sesuatu kerja, sama ada susah atau mudah]
57. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah [Dua orang yang setaraf dan sepadan]
58. Berhakim kepada beruk [Minta pengadilan kepada orang yang tamak, sudah tentu mendapat kerugian]
59. Berkerat rotan berpatah arang [Pergaduhan atau perceraian yang tidak boleh berbaik-baik semula]
60. Berlindung di sebalik telunjuk [Hendak menyembunyikan sesuatu rahsia, sedangkan rahsia itu telah diketahui orang]
61. Berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap [Mengerjakan sesuatu dengan tidak mengetahui caranya, hanya akan mendatangkan kerugian]
62. Bertali boleh diheret, bertampuk boleh dijinjing [Perjanjian yang tidak dapat dimungkiri lagi kerana ada bukti yang dapat dipegang]
63. Bertanam tebu di bibir mulut [Mengeluarkan kata-kata manis untuk memujuk atau memuji]
64. Bertemu buku dengan ruas [Bertemu lawan yang sama-sama handal]
65. Bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang [Perselisihan faham antara dua saudara tentang sesuatu, orang lain juga yang beruntung]
66. Besar periuk, besarlah keraknya [Besar pendapatan, besar pula perbelanjaan]
67. Besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar [Lebih besar belanja daripada pendapatan]
68. Biduk lalu kiambang bertaut [Dua pihak yang berselisih faham akan berbaik semula sekiranya orang yang menjadi pengacau atau penghasut dapat disingkirkan]
69. Bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi [Ketua atau pemerintah yang telah hilang kuasanya tidak lagi ditakuti oleh orang bawahannya]
70. Bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut [Orang yang tidak mahu ditunjuk ajar langsung]
71. Bukan tanah menjadi padi [Bukan tempatnya untuk berbuat baik]
72. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat [Kejayaan sesuatu pekerjaan itu adalah hasil persefahaman dan kerjasama yang erat]
73. Bumi mana tak ditimpa hujan [Manusia tidak lepas daripada membuat kesalahan]
74. Bunga disunting, perlu ditendang [Seorang suami yang hanya menyayangi isterinya tetapi membenci mentuanya]
75. Bunga raya kembang pagi [Muka yang merah padam kerana marah akan sesuatu]
76. Bunga mekar di taman, baunya semerbak ke mana-mana [Gadis yang cantik akan mashyur dan menjadi sebutan di mana-mana]
77. Buruk perahu buruk pangkalan [Seorang suami yang telah bercerai dengan isterinya, tidak mahu menjenguknya lagi]
78. Burung hantu kesiangan [Tidak dapat berbuat apa-apa kerana kehabisan daya]
79. Burung terbang dipipiskan lada [Sesuatu yang dihajati belum tentu dapat tetapi rancangan untuk menggunakannya telah dibuat]
80. Cacing hendak menjadi naga [Orang berpangkat rendah berlagak seperti orang berpangkat tinggi]
81. Cacing menelan naga [Orang lelaki daripada keturunan orang kebanyakan dapat berkahwin dengan anak gadis orang bangsawan]
82. Cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar [Orang yang cakapnya sahaja besar, hasil pekerjaan tiada]
83. Cakap sejengkal dibawa sehasta [Perkara yang kecil diperbesar]
84. Calak-calak ganti asah, menanti tukang belum datang [Dipakai untuk sementara belum ada yang lebih baik]
85. Cari umbut kena buku [Mencari yang baik, mendapat yang buruk]
86. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga [Perbalahan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan]
87. Cencaru makan petang [Pekerjaan yang dilakukan dengan lambat mendatangkan hasil yan baik dan lumayan]
88. Condong ditumpil, lemah dianduh [Memberi pertolongan (kewangan, fikiran, dan sebagainya) kepada orang yang dalam kesusahan]
89. Condong yangv akan menongkat, rebah yang akan menegakkan [Pemimpin yang akan membantu atau menjaga rakyatnya jika ada kesusahan yang menimpa rakyatnya itu]
90. Cuba-cuba menanam mumbang, jika hidup turus negeri [Meneruskan sesuatu pekerjaan yang kurang berharga, mungkin akan mendatangkan hasil kelak]
91. Dada manusia tidak dapat diselami [Isi hati atau fikiran seseorang itu tidak dapat kita ketahui]
92. Dalam kilat ada kilau [Dalam percakapan yang terang atau biasa, ada sesuatu maksud yang tersembunyi]
93. Daun mengenalkan pohonnya [Daripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengenali peribadinya]
94. Dari jauh diangkat telunjuk, kalau dekat diangkat mata [Umpat dan caci kerana kelakuan yang tidk senonoh]
95. Datang seperti rebut, pergi seperti semut [Sesuatu penyakit itu cepat merebak tetapi lambat pulih]
96. Datang tak berjemput, pulang tak berhantar [Tetamu yang tidak penting]
97. Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga [Tidak sama kasih kepada anak sendiri dengan kasih kepada anak orang lain]
98. Dekat dapat ditunjal, jauh dapat ditunjuk [Perkataan atau pengakuan yang dapat dibuktikan kebenarannya]
99. Dengar cakap enggang, makan buah brluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk [Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah diusahakan dengan sungguh-sungguh dan jangan sekali-kali mendengar cakap orang kerana diri sendiri yang akan menerima padahnya]
100. Deras datang dalam kena [Pekerjaan yang dilakukan secara terburu-buru akan mendatangkan kerugian]
101. Diam-diam ubi berisi, diam-diam penggali berkarat [Diam orang yang berilmu berfikir sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaj]
102. Diam penggali berkarat [Ilmu yang disimpan sahaja, lama-kelamaan akan hilang]
103. Dianjak layu, dianggur mati [Keputusan yang tidak dapat diubah lagi]
104. Dibakar tidak hangus, dijemur tidak kering, direndam tidak basah, ditetak tidak putus [Tidak dapat dibuat apa-apa lagi terhadap seseorang yang keras hati atau berkuasa]
105. Dibalik-balik bagai memanggang [Difikirkan semasak-masaknya]
106. Dihujani kering, dijemur basah [Membuat sesuatu pekerjaan yang menyusahkan orang lain]
107. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan [Jika ada azam, apa-apa yang dihajati dapat dicapai]
108. Di mana anjing menyalak di situlah biawak memanjat [Jika hendak menyiasat sesuatu kejadian jahat, carilah puncanya di tempat kejadian itu]
109. Di mana kayu bengkok, di situlah musang meniti [Tempat yang tidak dijaga dengan baik akan didatangi pencuri]
110. Di mana tempat kutu hendak makan kalau tidak di atas kepala [Sudah menjadi adat, anak bergantung pada ayah dan yang miskin bergantung kepada yang kaya]
111. Di mana tumbuh, di situ disiang [Jika terjadi sesuatu perkara atau perselisihan, hendaklah diperiksa dan diselesaikan di situ juga]
112. Ditelan mati emak, diluah mati bapak [Dalam keadaan serba salah]
113. Dua badan senyawa [Dua orang yang berteguh janji taat setia sehidup semati; sangat karib]
114. Dua kali dua empat [Dua orang yang sama sifat atau perangai]
115. Duduk berkisar, tegak berpaling [Memungkiri apa-apa yang telah dikatakan dahulu]
116. Duduk dengan cupak dan gantang [Mendapat ketua yang adil]
117. Dulu besi sekarang timah [Seorang yang telah turun pangkat]
118. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat [Sesuatu yang hendak dilakukan, elok dibicarakan dahulu dengan kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat]
119. Emas berpeti, kerbau berkandang [Harta benda harus disimpan di tempat yang betul supaya selamat]
120. Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang [Nasihat untuk kebaikan perlu disebut berulang kali]
121. Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing[Orangyang mementingkan diri sendiri]
122. Enau sebatang dua sigainya [Jika sesuatu pekerjaan mempunyai dua orang ketua, tentu hasilnya tidak menjadi/ Seorang isteri yang menduakan suami]
123. Enggang lalu ranting patah [Orang yang pernah terlibat dalam jenayah, kebetulan berada di tempat berlakunya jenayah, tentulah dia disyaki walaupun dia tidak melakukannya]
124. Enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang sama [Hubungan, ikatan, atau jodoh yang sama taraf kedudukannya]
125. Gagak bersuara murai [Rupanya hodoh tetapi suaranya merdu dan baik budi bahasanya]
126. Gajah berak besar kancil pun hendak berak besar, akhirnya mati kebebangan [Seseorang yang berbelanja seperti orang kaya, akhirnya menderita]
127. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama [Orang yang berjasa akan dikenang selama-lamanya setelah meninggal dunia]
128. Gajah mati, tulang setimbun [Apabila seseorang jutawan mati, tentu sekali banyak meninggalkan harta]
129. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah [Dua pihak yang berkuasa bergaduh, rakyat yang menderita]
130. Gantung tak bertali, salai tak berapi [Seseorang suami yang meninggalkan isteri tanpa memberi nafkah atau menceraikannya]
131. Garam dikulum tidak hancur [Orang yang pandai menyimpan rahsia]
132. Garam jatuh di air [Nasihat yang diterima dengan baik atau dipatuhi]
133. Gayung tua, gayung memutus [Kata-kata orang tua biasanya benar dan tepat]
134. Gemuk membuang lemak, cerdik membuang kawan [Sesudah kaya atau berpangkat, tidak mahu menolong atau bergaul dengan keluarga sendiri]
135. Geruh tak berbunyi, malang tak berbau [Kemalangan terjadi tanpa diketahui]
136. Getikkan puru di bibir [Susah hendak membenci anak isteri sendiri walaupun perangai mereka buruk]
137. Gigi dengan lidah adakala tergigit juga [Suami isteri atau sanak saudara adakalanya berselisih faham juga]
138. Gigi tanggal, rawan murah [Keinginan yang datang sesudah tidak ada kesempatan lagi]
139. Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali [Harta yang banyak akan habis sekiranya tidak ditambah]
140. Hanya air dingin yang dapat memadamkan api [Kata-kata yang lemah lembut dapat menyejukkan hati yang marah]
141. Hapus panas setahun oleh hujan sehari [Jasa atau kebaikan seseorang boleh hilang akibat kesalahan yang sedikit]
142. Harapkan pagar, pagar makan padi [Orang yang diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu, mengkhianati kepercayaan itu]
143. Hari guruh takkan hujan [Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul orang lain]
144. Harimau mengaum tak makan orang [Orang yang marah-marah sambil bersungut, tidak berniat membenci atau menganiaya orang lain]
145. Harimau menunjukkan belangnya [Orang yang menunjukkan kekuasaan atau keberaniannya]
146. Harimau menyembunyikan kukunya [Orang yang berilmu tidak mahu menunjukkan kebolehannya]
147. Hasrat hati hendak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai [Tidak berdaya mencapai apa-apa yang dihajati atau dicita-citakan]
148. Hati bak serangkak dibungkus [Sangat berharap akan mendapat sesuatu yang diingini]
149. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah [Pembahagian yang sama rata, beruntung banyak sama-sama mendapat sedikit]
150. Hendak harum terlalu hangit [Kerana terlalu hendak meninggikan diri, akhirnya, mendapat malu]
151. Hendak dapat pisang terkupas [Inginkan kesenangan tetapi malas berusaha]
152. Hendak seribu daya, hendak seribu dalih [Jika berkehendakkan sesuatu, akan berusaha untuk mendapatkannya tetapi jika tidak mahu melakukan sesuatu, berbagai-bagai alasan akan diberikan]
153. Hendak terbang tiada bersayap, hendak hinggap tiada berkaki [Seseorang yang tidak berupaya membuat sesuatu]
154. Hilang bahasa lenyap bangsa [Jika sesuatu bahasa itu tidak digunakan lagi bererti bangsanya pun sudah tidak ada/ Hilang budi bahasa, hilang darjat diri]
155. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong [Seseorang yang suka menonjol-nonjolkan dirinya kepada orang lain sedangkan orang berkenaan langsung tidak memberikan perhatian terhadapnya]
156. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah [Semasa hidup kita hendaklah mengikut peraturan atau adat yang ditetapkan, apabila sudah mati terserahlah kepada hukum Tuhan]
157. Hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang [Barang yang buruk tetapi berguna akan disimpan manakala barang yang cantik tetapi tidak berguna dibuang]
158. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri [Walau baaimana mewah dan baik negara orang berbanding dengan negara sendiri, lebih baiklah berada di negara sendiri]
159. Hujan, tempat berteduh; panas, tempat berlindung [Orang yang selalu memberikan pertolongan kepada orang lain yang mendapat kesusahan]
160. Hujung lurus pangkal berkait [Orang yang pada zahirnya baik tetapi hatinya tidak]
161. Hutang darah dibayar darah, hutang nyawa, nyawa padahnya [Tiap-tiap hukuman itu mestilah bersesuaian dengan kesalahannya]
162. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka [Membuat sesuatu yang didorong oleh hawa nafsu akhirnya mendatangkan kesusahan]
163. Indah khabar daripada rupa [Keadaan sesuatu yang tidak sama seperti yang digambarkan]
164. Ini hari orang, esok hari kita [Malang sukar ditentukan, oleh itu kita hendaklah sentiasa beringat-ingat]
165. Intan disangka batu kelikir [Tidak mengetahui nilai (keadaan) yang sebenarnya]
166. Intan itu jika terbenam di perlimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya [Kebenaran akan terserlah juga walaupun disembunyikan]
167. Jauhari juga yang mengenal manikam [Orang yang bijaksana juga yang mengetahui kelebihan sesuatu ilmu]
168. Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa [Jika kita banyak merantau banyaklah perkara yang dapat kita lihat, begitu juga orang yang telah lama hidup banyaklah pengalamannya]
169. Jauh panggang dari api [Jauh daripada yang dimaksudkan atau mustahil boleh berlaku]
170. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya [Hendaklah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati]
171. Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang [Jika perkara itu tidak berlaku, masakan ada orang yang berkata-kata tentang hal itu]
172. Jika ular menyusur akar sekalipun tak akan hilang bisanya [Orang mulia atau berpangkat tinggi tidak akan jatuh darjatnya sekalipun dia bergaul dengan orang kebanyakan]
173. Jiwa bergantung di hujung rambut [Dalam keadaan yang sangat mencemaskan dan berbahaya]
174. Jual sutera beli mastuli [Mendapat ganti yang lebih berharga lagi]
175. Kail sebentuk umpannya seekor, sekali putus sehari berhanyut [Melakukan sesuatu tanpa membuat persediaan yang cukup untuk menghadapi sebarang kemungkinan]
176. Kain basah kering di pinggang [Keadaan orang yang terlalu miskin]
177. Kais pagi makan pagi, kais petang [Pendapatan yang diperoleh cukup untuk sehari sahaja]
178. Kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau [Orang yang berketurunan baik, ke mana-mana sahaja dia pergi akan tetap menjadi baik]
179. Kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi [Tidak mungkin perselisihan atau percintaan terjadi daripada satu pihak sahaja]
180. Kalau bukan rezeki, di mulut lari ke luar [Rezeki (harta) yang belum dapat ditentukan sebagai milik sendiri]
181. Kalau dicampak bunga takkan dibalas dengan tahi [Budi baik seseorang tidak akan dibalas dengan kejahatan]
182. Kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang [Orang yang pandai membawa diri, hidupnya akan selamat]
183. Kalau secupak takkan jadi segantang [Sesuatu yang sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi]
184. Karam berdua basah seorang [Dua orang yang melakukan kesalahan tetapi seorang sahaja yang dihukum]
185. Kasihkan anak tangan-tangankan, kasihkan isteri tinggal-tinggalkan [Jangan terlampau memanjakan orang yang disayangi]

186. Kata seorang dibulati, kata bersama diperiakan [Urusan peribadi boleh diputuskan sendiri tetapi urusan orang ramai perlu dirundingkan bersama-sama]
187. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni [Sama-sama menikmati kesenangan atau menghadapi kesusahan]
188. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa [Pengetahuan seseorang itu bukanlah diukur berdasarkan rupa/ umurnya]
189. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan [Menyatakan rasa terima kasih dan berbesar hati kerana nasihat atau pertolongan orang lain]
190. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? [Sifat seseorang ibu atau bapa sedikit banyak akan turun kepada anaknya]
191. Kena parang bermata dua [Sangat menyakitkan hati (perasaan)]
192. Kepala sama hitam, hati lain-lain [Lain orang, lain fikirannya]
193. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya [Segala janji yang telah dilafazkan mestilah ditepati]
194. Kerbau sekawan boleh dikandang, manusia seorang tiada terkawal [Sukar menjaga seorang gadis supaya nama baiknya tidak tercemar]
195. Keris pedang tiada tajam, lebih tajam mulut manusia [Kata-kata seseorang itu lebih tajam daripada senjata]
196. Kerja bertangguh tak menjadi, kerja beransur tak bertahan [Kerja yang selalu ditangguh-tangguhkan tidak akan dapat diselesaikan]
197. Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek [Kerja yang disuruh oleh ketua diutamakan daripada kerja sendiri]
198. Kesat-kesat daun pimping, kalau kesat daun labu boleh dicelur [Orang yang miskin serta tidak berilmu tiada gunanya di kalangan orang banyak, tetapi kalau baik kelakuannya, ada juga faedahnya]
199. Ketam menyuruh anaknya berjalan betul [Orang yang menasihati orang lain berbuat sesuatu dengan betul sedangkan dia sendiri berbuat salah]
190. Ke tengah boleh ke tepi pun boleh [Orang yang dapat menyesuaikan diri di mana-mana dia berada]
191. Kita baru mencapai pengayuh, orang sudah tiba ke seberang [Orang yang bijaksana selalu mencapai sesuatu maksud lebih dahulu daripada orang lain]
192. Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi [Orang miskin yang bercakap besar dan berlagak seperti orang kaya]
193. Kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tak kelihatan [Kesalahan orang walaupun kecil nampak tetapi kesalahan sendiri yang lebih besar tidak disedari]
194. Kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari [Persetujuan atau persahabatan harus datang daripada kedua-dua belah pihak]
195. Lagi terang lagi bersuluh [Sudah memahami sesuatu perkara tetapi masih bertanya lagi]
196. Lain bengkak lain bernanah [Orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang dpersalahkan]
197. Lain dulang lain kakinya, lain orang lain hati [Manusia mempunyai sifat atau kehendak yang berbeza]
198. Lain lubuk, lain ikannya [Setiap negara mempunyai adat resam yang berlainan]
199. Lalang ditanam takkan padi yang tumbuh [Perbuatan yang jahat tidak akan mendapat balasan yang baik]
200. Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan [Setiap orang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan/ Segala usaha itu mesti ada kesukaran atau cabarannya]
201. Lemak-lemak santan berlada [Kata-kata manis dan lemah lembut tetapi mengandungi sindiran yang tajam]
202. Lembah diraih, pantai dititi [Sikap yang bijaksana dalam mengeluarkan sesuatu perintah atau arahan]
203. Lembu punya susu, sapi dapat nama [Orang lain yang membuat sesuatu pekerjaan, orang lain pula yang mendapat nama]
204. Lembut gigi daripada lidah [Berkata-kata dengan lemah lembut dan merendahkan diri kerana berhajatkan sesuatu]
205. Lempar batu sembunyi tangan [Membuat sesuatu yang tidak baik kemudian brpura-pura tidak tahu]
206. Lenggang-lenggok bagai cupak hanyut [Gaya jalan yang lemah lembut dan menarik]
207. Lengkuas di tepi kandang, tegak puas badan menyandang [Kesalahan yang kita buat, kita juga yang menanggung akibatnya]
208. Lepas bantal berganti tikar [Mengahwini saudara atau ahli keluarga isteri atau suami yang telah meninggal dunia]
209. Luka sudah hilang, parut tinggal juga [Sungguh pun orang yang berselisih faham itu telah berdamai namun peristiwa itu tetap berbekas di hati masing-masing]
210. Lulus jarum lulus kelindan [Kalau kehendak pertama itu tercapai kehendak lain akan tercapai juga]
211. Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih [Jika hendakkan sesuatu, seseorang akan mencuba untuk mendapatkan dengan sedaya upayanya tetapi jika dia tidak mahu, pelbagai alasan akan diberikan]
212. Makan hati berulam jantung [Perasaan sedih yang amat sangat]
213. Makan keringat orang [Mengecap kesenangan dengan cara memeras orang lain]
214. Makin murah makin menawar [Seseorang yang telah dituruti kehendaknya, berkehendakkan lebih lagi]
215. Malu jika anak harimau menjadi anak kambing [Tidak patut anak orang baik-baik menjadi jahat]
216. Malu bertanya sesat jalan [Kalau tidak mahu berusaha tentu tidak akan mendapat kejayaan]
217. Manikam itu kalau jatuh ke limbahan sekalipun tidak akan hilang cahayanya [Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya]
218. Mara jangan dicari, rezeki jangan ditolak [Bahaya atau kesusahan jangan sekali-kali dicari tetapi jangan pula menolak sesuatu yang mendatangkan kebaikan]
219. Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah [Disebabkan takut akan bahaya yang kecil, keuntungan yang besar dibuang akhirnya diri sendiri yang rugi]
220. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak [Apabila kita berada di tempat orang, kita hendaklah mengikuti adat resam masyrakat di situ]
221. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri [Nasihat dan pengajaran yang tidak diterima]
222. Melentur aur/ buluh biarlah dari rebungnya [Mendidik anak hendaklah sejak kecil lagi kerana apabila sudah besar, susah hendak mendidiknya]
223. Meludah ke langit, timpa atas batang hidung sendiri [Memburukkan keluarga sendiri, diri sendiri juga yang malu]
224. Membasuh arang yang terconteng di muka [Menghilangkan aib]
225. Membeli kerbau di padang [Melakukan sesuatu tanpa usul periksa lebih dahulu]
226. Memberakkan periuk nasi sendiri [Mengkhianati tempat kita menumpang atau tempat kita bekerja]
227. Membesarkan kerak nasi [Berbelanja lebih dan membazir]
228. Membujur lalu melintang patah [Sanggup menghadapi sebarang tentangan atau dugaan]
229. Memulangkan paku buah keras [Membangkitkan perkara yang sudah lepas]
230. Menabur benih di atas batu [Berbuat baik kepada orang yang tidak tahu membalas budi tentulah sia-sia]
231. Menabur benih di tanah subur [Berbuat baik kepada orang yang tahu mengenang budi]
232. Menahan lukah di pergentingan [Mencari keuntungan dalam keadaan kecemasan/ Mengambil kesempatan daripada orang yang susah]
233. Menantikan kucing bertanduk [Mangharapkan sesuatu yang mustahil akan berlaku]
234. Menantikan nasi disajikan ke lutut [Seseorang yang malas berusaha tetapi mengharapkan kesenangan datang kepadanya]
235. Mencurahkan air di daun keladi [Memberikan nasihat kepada orang yang tidak mahu menerimanya]
236. Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan [Mengharapkan sesuatu yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan atau dibuang]
237. Menetak dengan belakang parang [Menyuruh orang malas bekerja]
238. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dirinya yang lebih [Menegur keburukan orang, sedangkan keburukan diri sendiri tidak disedari]
239. Minyak takkan bercampur dengan air [Sesuatu yang tidak dapat disatukan]
240. Muka ditampal kulit babi [Orang yang berasa amat malu]
241. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya [Rahsia yang sudah diketahui orang akan tersebar ke mana-mana sahaja]
242. Murai berkicau hari siang [Sesuatu yang sudah terang dan nyata]
243. Naga ditelan ular lidi [Anak orang bangsawan berkahwin dengan orag kebanyakan]
244. Nak menangguk ikan, tertangguk batang [Mengharapkan untung tetapi mendapat kerugian]
245. Nasi masak periuk pecah [Hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh diminta belas kasihan lagi]
246. Nasi sama ditanak, kerak dimakan seorang [Sama-sama melakukan sesuatu pekerjaan tetapi keuntungannya diambil seorang]
247. Nasi sudah menjadi bubur [Sesuatu yang sudah terlanjur tidak dapat dibetulkan lagi]
248. Nasi tak dingin, pinggan tak retak [Cermat melakukan sesuatu pekerjaan]
249. Nasib penyapu, banyak jasa [Turun darjat terlalu banyak membuat kebajikan sehingga merosakkan diri sendiri]
250. Ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan [Khabarnya telah kedengaran, tetapi buktinya belum ada]
251. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa [Jika orang telah berbudi kepada kita, kita harus membalasnya dengan baik]
252. Orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah [Orang lain yang membuat kesalahan, orang lain pula yang menerima akibatnya]
253. Orang mandi berselam, kita mandi bertimba [Orang mendapat keuntungan besar, kita mendapat keuntungan kecil]
254. Orang mencubit, kita menampar [Cara membuat sesuatu berlainan tetapi kesannya sama sahaja]
255. Orang mengantuk disorongkan bantal [Mendapat sesuatu yang diinginkan tentulah berasa gembira]
256. Padi setangkai bernas semuanya [Keluarga yang hidup beruntung dan berbahagia]
257. Patah kemudi perahu hanyut [Apabila ketua sesuatu kumpulan telah tiada, keadaan kumpulan itu akan menjadi kucar-kacir]
258. Patah tumbuh hilang berganti [Sesuatu yang hilang itu ada gantinya]
259. Penyu bertelur beratus-ratus senyap, ayam bertelur sebiji riuh sekampung [Orang yang mendapat sesuatu dengan banyak berdiam diri sahaja sedangkan orang yang mendapat sesuatu dengan sedikit, heboh memberitahu orang lain tentang hal itu]
260. Perahu papan bermuat intan [Menunjukkan jodoh yang tidak sesuai]
261. Pinang pulang ke tampuk [Sesuatu benda yang sesuai pada tempatnya/ Suami isteri yang telah bercerai berbalik semula]
262. Pipit hendak meminang enggang [Ingin membuat sesuatu di luar kemampuan diri]
263. Pipit pekak makan berhujan [Sangat rajin]
264. Pokok yang besar juga yang dinaiki sakat [Orang yang kaya juga yang bertambah kekayaannya]
265. Pucuk dicita, ulam mendatang [Mendapat sesuatu yang lebih baik daripada yang diharapkan]
266. Pukul anak sindir menantu [Memarahi seseorang tetapi sebenarnya kemarahan itu ditujukan kepada orang lain]
267. Punggur rebah belatuk menumpang mati [Jika orang yang menjadi pelindung atau penaung jatuh, anak buahnya turut menerima akibatnya]
268. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah [Raja atau pemerintah yang adil dan saksama akan disayangi rakyat tetapi jika zalim, akan dibenci oleh rakyat]
269. Rajin bekerja mudah belanja [Orang yang rajin sentiasa murah rezeki]
270. Rantai besi dimakan bubuk [Cerita yang tidak logik]
271. Rasa pedih cuping telinga [Berasa marah kerana mendengar kata-kata yang menyakitkan hati]
272. Rebung tidak jauh dari rumpun [Perangai anak tidak jauh bezanya daripada perangai ibu bapa mereka]
273. Rezeki helang takkan dapat dimakan oleh musang [Rezeki seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain]
274. Ringan mulut berat punggung [Pandai bercakap sahaja tetapi malas bekerja]
275. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul [Melakukan sesuatu pekerjaan bersama-sama]
276. Ringan tulang berat perut [Rajin bekerja mudah belanja]
277. Rosak anak oleh menantu [Orang yang dikasihi merosakkan harta yang diberikan kepadanya]
278. Rosak badan kerana mulut [Mengeluarkan kata-kata kasar terhadap seseorang tanpa berfikir panjang yang boleh menyusahkan diri sendiri]
279. Rosak bawang ditimpa jambak [Rosak nama atau maruah seseorang kerana kelakuannya sendiri]
280. Rosak tapai kerana ragi [Pekerjaan yang dibuat tanpa berhati-hati tidak akan sempurna]
281. Rumah sudah pahat berbunyi [Mengemukakan pendapat setelah perkara itu dibuat keputusan]
282. Rumah terbakar tikus habis keluar [Apabila berlaku sesuatu malapetaka di sesebuah negara, rakyat negara itu akan melarikan diri]
283. Runcing taduk berbelang kening [Sudah terkenal jahatnya]
284. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk [Sama-sama ikut bertanggungjawab]
285. Sambil berdiang, nasi masak [Membuat dua kerja dalam satu masa]
286. Sambil menyelam minum air [Membuat dua pekerjaan dalam satu masa]
287. Sebesar-besar bumi ditampar tak kena [Perkara yang kelihatan mudah tetapi sukar untuk membuatnya]
288. Sebusuk-busuk daging dibasuh, dikincah dimakan jua [Walau bagaimana jahatnya keluarga atau keluarga atau kaum kerabat, tidak sampai hati membiarkannya]
289. Sedangkan bah kapal tak hanyut, inikan pula kemarau panjang [Pada masa ada mata pencarian tidak boleh hidup senang, inikan pula tanpa pekerjaan]
290. Sekali air bah sekali pantai berubah [Lain ketua lainlah pula kemahuannya]
291. Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu [Sekali tertipu tentu akan berhati-hati pada masa akan datang]
292. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga [Walau bagaimana pandai seseorang itu pasti akan melakukan kesilapan]
293. Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga [Orang yang tidak mengendahkan kemajuan dan perubahan]
294. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna [Tiap-tiap sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat hendaklah difikir terlebih dahulu supaya tidak menyesal pada kemudian hari]
295. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan [Kalau tidak mencapai kata sepakat dalam perundingan, hendaklah berbalik kepada pokok persoalannya]
296. Siapa makan nangka, maka kena getahnya [Siapa yang membuat kesalahan dia sendiri yang menanggung akibatnya]
297. Siapa makan cili dialah berasa pedas [Siapa yang melakukan kesalahan, dialah yang terasa bersalah apabila orang lain menyindirnya]
298. Si bingung makanan si cerdik [Orang yang bodoh seringkali diperdayakan oleh orang yag cerdik]
299. Si kudung mendapat cincin [Orang yang mendapat sesuatu yang berharga tetapi tidak tahu menggunakannya dengan baik]
300. Si mandul baru beranak [Terlalu gembira kerana mendapat sesuatu yang tidak disangka-sangka]
301. Sirih naik junjungan patah [Baru hendak memperoleh kesenangan tiba-tiba mendapat kecelakaan]
302. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi [Orang yang mendapat sesuatu yang lebih baik, yang lama ditinggalkannya]
303. Sudah diludah, dijilat balik [Sudah dicela atau dibuang, dipuji dan diambil semula]
304. Sudah gaharu cendana pula [Bertanya akan sesuatu perkara yang memang sudah diketahui]
305. Sudah jatuh ditimpa tangga [Mendapat kemalangan yang berturut-turut]
306. Sudah menjadi abu arang [Dalam keadaan yang telah rosak binasa]
307. Sudah patah yang bertaji [Orang yang ditakuti dan disegani sudah tiada lagi]
308. Sudah terhantuk baru tengadah [Beringat-ingat hanya selepas ditimpa sesuatu muslihat]
309. Sukakan kemenyan, dibakar [Sukakan pengetahuan yang baik hendaklah disebarkan seluas-luasnya]
310. Tak dapat tanduk telinga dipulas [Sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan dapat membalas dendam]
311. Takkan buaya menolak bangkai [Orang yang berperangai jahat susah hendak meninggalkan perangai buruk itu]
312. Takkan pisang berbuah dua kali [Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu]
313. Takkan sama getah daun dengan getah batang [Kasih sayang terhadap anak sendiri tidak akan sama dengan anak saudara yang ada dalam jagaan kita]
314. Tak sungguh seluang melaut, akhirnya balik ke tepi juga [Tak tahan merantau akhirnya balik ke kampungnya semula]
315. Tak tahu membalas guna [Tidak tahu membalas budi orang]
316. Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket [Tidak mahu mengakui kebodohan atau kelemahan sendiri]
317. Takut jatuh lain tertiarap, takut titik lalu tumpah [Takut rugi sedikit langsung rugi banyak]
318. Tanam padi lalang yang tumbuh [Berpenat lelah membuat sesuatu untuk mendapatkan keuntungan, akhirnya tidak mendapat apa-apa pun]
319. Tatang (Menatang) di anak lidah [Sangat mengasihi anak isteri]
320. Tebas buluh serumpun [Merosakkan nama keluarga kerana perbuatan yang tidak baik]
321. Tebu habis manis, sepah dibuang [Seorang isteri yang diceraikan setelah kecantikannya tidak menarik lagi]
322. Telinga yang lembut itulah selalu dipulas orang [Orang yang lemah lembut dan murah hati kerap menjadi suruhan orang]
323. Tempayan yang penuh itu tidak berkocak airnya [Orang yang bijaksana dan berpengetahuan tinggi tidak akan menonjolkan diri]
324. Tepuk dada tanya selera [Sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan hendaklah difikirkan habis-habis]
325. Terkilat ikan dalam air, sudah tahu jantan betina [Orang yang bijaksana dapat mengetahui maksud seseorang daripada gerak-gerinya]
326. Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik [Berfikir baik-baik sebelum bercakap kerana kata-kata yang telah diucapkan tidak dapat ditarik balik]
327. Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau [Setelah terlepas daripada satu bahaya, mendapat bahaya yang lain pula]
328. Tiada beban batu digalas [Mencampuri hal orang lain dan menyusahkan diri sendiri]
329. Tiada gading yang tak retak [Walau bagaimana elok sekalipun sesuatu atau seseorang itu tentu ada cacatnya]
320. Tiada rotan akar pun berguna [Kalau tidak ada barang yang terbaik, barang yang kurang baik pun boleh digunakan juga]
321. Tidak sama air hujan dengan air telaga [Tidak sama orang yang mulia dengan orang yang hina]
322. Tidur tak lena, mandi tak basah [Bersusah hati kerana terlalu memikirkan sesuatu]
323. Tinggal kain sehelai sepinggang [Kehabisan harta kerana ditimpa kecelakaan]
324. Tong yag kosonglah yang selalu berkocak [Orang yang tidak berilmu selalu bercakap besar]
325. Tua-tua keladi, semakin tua semakin menjadi [Orang tua yang berperangai seperti orang muda]
326. Tukang tidak membuang kayu [Orang yang cerdik selalu berhemat atau berhati-hati dalam segala perkara]
327. Tunggang hlang berani mati [Tidak gentar menjalankan kewajipan, terutama untuk membela agama, bangsa, dan negara]
328. Tunggul terbakar di tengah huma [Rupa yang hitam]
329. Untung sepanjang jalan, malang sekejap mata [Untuk berjaya sangat susah, untuk gagal sangat mudah]
320. Ukur baju di badan sendiri [Tiap-tiap sesuatu yang dibuat, mestilah berpadanan dengan kemampuan diri sendiri]
321. Ular dipalu biarlah mati, pemalu janganlah patah, tanah janganlah lembang [Apabila membuat sesuatu pekerjaan biarlah dengan cermat, bijak, dan berhati-hati]
322. Ulat di dalam batu pun hidup juga [Orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan]
323. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam [Kalau nasib seseorang itu baik, dia akan mendapat keuntungan tetapi kalau sebaliknya, dia akan kerugian]
324. Upah bidan pun tak terbayar [Anak-anak nakal yang menyusahkan ibu bapa]
325. Usul menunjukkan asal, bahasa menunjukkan bangsa [Dengan memperhatikan perangai seseorang dapatlah kita menilai asal keturunannya sama ada daripada baka yag baik atau daripada baka yang tidak baik]
326. Walau disepuh emas lancang, kilat tembaga tampak juga [Bagaimana diajar sekalipun, orang yang biadab itu kelihatan juga perangainya yang kurang baik]
327. Wayang kepadaman damar [Keadaan kacau yang terjadi dengan tiba-tiba]
328. Ya sepanjang hari, janji sepanjang jalan [Mudah berjanji, tetapi sukar menepatinya]
329. Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher [Orang yang menjadi penjamin kepada seseorang yang berhutang terpaksa membayar hutang tersebut apabila orang yang berhutang itu melarikan diri]
330. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang [Seseorang yang bertuah akan mendapat rezeki di mana-mana sahaja]
331. Yang bongkok juga dimakan sarung [Orang yang bersalah tetap akan menerima hukuman]
332. Yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam [Orang yang malas disuruh mengawasi orang yang malas, akhirnya sia-sia belaka]
333. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran [Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti lalu barang yang ada dibuang]
334. Yang rendah terpendek sangat, yang tinggi terunjur sangat [Tidak pernah berasa puas dengan sesuatu perolehan]
335. Yang tajam tumpul, yang bisa tawar [Dengan kata-kata yang lemah lembut dapat menyelesaikan segala sengketa]
336. Zaman beralih, musim bertukar [Sesuatu itu hendaklah disesuaikan dengan peralihan masa]
337. Zaman Tuk Nadur berkajang kain [Zaman yang telah lalu; sangat lama]

No comments:

Post a Comment